Ulasan video (Webinar) MEMPERKASAKAN TVET DI SEKOLAH MENENGAH HARIAN


Perkara                       : Ulasan video (Webinar)
Tajuk                           : MEMPERKASAKAN TVET DI SEKOLAH MENENGAH HARIAN
Alamat Pautan URL    : https://youtu.be/dM6gsrSNvDA

            Sesi ini dipengerusikan oleh Puan Aida Mohd Anip dan Puan Siti Yusnidar Mohamed Junus. Tetamu yang hadir pada sesi ini ialah Tuan Zainuren bin Haji Mohd Nor, Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional yang dulu dikenali sebagai Bahagian Pendidikan Teknik & Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Sesi dimulakan dengan pengenalan latar belakang dan sumbangan Tuan Zainuren dalam bidang pendidikan di Malaysia.
            Antara kandungan ucapan pendahuluan Tuan Zainuren ialah KPM berhasrat untuk menjadikan TVET sama seperti pelajar yang meminati aliran akademik biasa di sekolah-sekolah menengan harian. Justeru itu, KPM telah mula melaksanakan transformasi pendidikan vokasional mulai tahun 2012 dan dijangka mencapai matlamatnya pada tahun 2020. Usaha untuk memperkasakan TVET adalah satu usaha jangka panjang dan TVET bukanlah hanya terhad kepada modal insan di negara kita tetapi TVET adalah keperluan tenaga untuk generasi akan datang di seluruh negara. UNESCO juga menggalakkan ‘member states’ untuk memperkasakan TVET atau meningkatkan usaha untuk membolehkan pelajar mempelajari TVET bagi membolehkan generasi yang akan datang dilengkapi dengan kemahiran tertentu yang membolekan mereka hidup dengan lebih baik.
            Soalan pertama yang diajukan oleh pengerusi ialah ‘Jika kita menyebut tentang pendidikan, sememangnya kita tidak boleh lari dari modal insan atau boleh dikatakan sebagai pelajar yang bakal menjadi penyambung generasi masa depan negara, mungkin boleh jelaskan dengan modal insan serta program-program yang ditawarkan di bawah TVET ini?’ Dalam bidang TVET kita fokus untuk melahirkan adalah murid yang kompeten. Murid-murid yang boleh bekerja dan memang boleh bersaing, punyai daya saing, daya juang dan daya tahan yang tinggi dan untuk melahirkan murid yang kompeten ini pertamanya murid ini mestilah mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup. Selain itu, mereka juga mestilah mempunyai kemahiran. Ketiga, mempunyai pengalaman yang boleh didapati bukan sahaja di bengkel di sekolah tetapi juga industri sebenar kerana TVET akan memastikan sekolah mempunyai hubungan yang rapat dengan industri. Dan yang paling penting sekali adalah ‘attitude’. Warga Malaysia seharusnya mempunyai sikap mahu bekerja dan berdaya saing. KPM juga mahu memberi peluang kepada semua orang kerana tidak semua pelajar mempunyai kebolehan, minat dan bakat yang sama.
            Soalan kedua ialah ‘bagaimana pula dengan kejayaan pelajar dan kaitannya dengan pensijilan?’ Program yang sudah dilaksanakan contohnya bagi PVMA, KPM sasarkan kepada pelajar lepasan Tingkatan Tiga yang menduduki PBS atau PT3 yang berkecenderungan atau mempunyai minat yang tinggi dalam bidang TVET. Untuk memberi fokus kepada kemahiran maka KPM meminta pelajar mengambil hanya tiga mata pelajaran asas iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris & Sejarah dan jika mereka lulus mata pelajarn Bahasa Melayu dan Sejarah mereka telah mempunyai SPM dan boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi jika memperolehi tiga ‘credit’ dalam mata pelajaran-mata pelajaran tersebut. Selain itu, KPM juga menyediakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia. Sijil ini diiktiraf oleh industri kerana kurikulumnya dibina oleh industri.
            Soalan seterusnya ialah dari Puan Norhimah dari SMK Desa Tun Hussein Onn. Beliau ingin mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan TVET melalui hubungan kolaborasi antara industri dengan sekolah. ‘Perlukah ada satu perjanjian antara industri dan sekolah untuk melaksanakan praktikal bagi pelajar?’ Menurut Tuan Zainuren, kita perlu mempunyai satu kolaborasi dengan industri untuk memastikan pelajar menguasai kemahiran yang cukup semasa tempoh pengajian. Kerjasama antara sekolah dan industri boleh dibuat melalui Memorandum of Understanding (MoU) atau Nota Kerjasama (Note of Understanding) atau melalui LoI (Letter of Intent). Terdapat pelbagai cara tetapi yang paling penting adalah menyatakan apakah kerjasama yang akan diadakan dengan pihak industri kerana kolaborasi antara pihak industri mempunyai empat kepentingan iaitu pertama untuk melaksanakan On the Job Training (OJT). Kedua, kerana perkongsian peralatan kerana peralatan di sekolah mungkin tidak muencukupi, tidak mempunyai skala yang besar dan tidak mencapai standard yang dikehendaki. Ketiga ialah perkongsian kepakaran kerana kepakaran itu banyak ada dalam industri. Keempat pelajar mendapat peluang pekerjaan selepas mereka menamatkan pengajian di Tingkatan Lima kerana sesetengah industri memang menyediakan peluang pekerjaan untuk lepasan SPM.
            Soalan seterusnya ialah dari En. Abdul Samad B. Osman, Pengetua SMK Orkid Desa, Kuala Lumpur. ‘Bagaimanakah Program Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA) dilaksanakan dan apakah tujuannya?’ Untuk melaksanakan PIMA, sekolah seharusnya menyelidik apakah industri yang ada di sekitar kawasan sekolah bagi tujuan meletakkan pelajar di industri tersebut. Oleh sebab itu, perlu ada perjanjian dengan ibu bapa sebelum memulakan PIMA kerana pelajar perlu pergi ke tempat kerja sendiri dan guru perlu jalankan pemantauan. Jurulatih dalam industri itu akan memantau pelajar setiap hari. Rekod yang mencatat pencapaian pelajar menjadi panduan kepada guru mengenai disiplin dan kehadiran pelajar dalam industri kerana disipin pelajar haruslah konsisten seperti disiplin di sekolah.
            Seterusnya adalah soalan dari moderator Puan Aida iaitu penjelasan mengenai SLDN. Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) banyak diperkenalkan di negara-negara maju seperti Jerman. Pelajar-pelajar yang berminat dalam TVET dihantar terus ke industri dan pembelajaran selama dua tahun pelajar ini akan turut mengambil SPM dan SKM 2 atau 3 bergantung kepada keperluan industri tersebut kerana industri yang melaksanakan SLDN ini ialah industri-industri yang telah diberikan penarafan sebagai industri SLDN yang berdaftar dengan SLDN sebagai pusat SLDN. Untuk program SLDN pelajar sekolah menengah yang berminat akan diletakkan di Kolej Vokasional (KV) kerana KV mempunyai tenaga pengajar yang sudah mempunyai SKM dan mereka boleh memantau pembelajaran pelajar. Program ini dibuat di seluruh Malaysia dan program yang terbaru adalah kerjasama dengan pihak Federation Manufacturer Malaysia (FMM) dan kerjasama dengan Malaysian Investment Develoment Authority (MIDA) dan pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan untuk tahun 2019 ini, terdapat 1000 tempat disediakan untuk pelajar menjalani program SLDN. Pelajar ini semasa di Tingkatan Empat dan Lima akan menjalani pembelajaran di KV selama enam bulan pertama dan mereka akan berada di industri pada enam bulan yang kedua sebagai perantisan.
            Soalan seterusnya ialah dari Puan Siti Hasbiah binti Hasan dari SMK Convent Bukit Nenas iaitu ‘adakah pelajar-pelajar dari PVMA ini berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi seperti ijazah dan bagaimanakah cara untuk mereka memohon untuk ke peringkat yang lebih tinggi ini?’ Peluang untuk melanjutkan pelajaran itu ada kerana dalam PVMA dan PIMA terdapat SPM. Terdapat pelbagai cara untuk mendapat peluang dalam melanjutkan pelajaran dalam bidang TVET. Selain ke institusi pendidikan swasta salah satunya ialah ke Politeknik atau Kolej Komuniti dengan SKM 2 untuk pelajar aliran PVMA. Pelajar- pelajar ini boleh menyambung mengambil SKM tahap 3, 4 dan seterusnya di insitusi latihan kemahiran awam dan swasta di Malaysia. SKM tahap 4 juga dipanggil Diploma Kemahiran Malaysia yangs ekarang sudah diiktiraf oleh kerajaan dan boleh bekerja dalam sector awam. Setelah menamatkan diploma, pelajar mempunyai laluan terus untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah. Untuk pelajar KV, mereka mempunyai laluan khas untuk menyambung terus ke universiti dengan syarat mereka mendapat PNGK 2.0 untuk akademik dan 2.67 untuk vokasional. Terdapat juga pelajar yang terus bekerja setelah tamat belajar dan pengalaman bekerja ini boleh digunakan untuk melanjutkan pelajaran dengan melalui Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) yang mana boleh digunakan sebagai cara untuk melanjutkan pelajaran.
            Rumusannya, TVET sebenarnya sesuai untuk semua peringkat umur kerana kemahiran-kemahiran yang dipelajari adalah pembelajaran sepanjang hayat. Ilmu yang digunakan untuk kehidupan seharian. Contohnya, pada masa ini kerajaan juga menggalakkan pelajar tahfiz untuk mempelajari kemahiran-kemahiran lain untuk meneruskan kelangsungan hidup. TVET disediakan untuk semua golongan tidak mengira latar belakang pencapaiannya. Guru-guru seharusnya menghebahkan kepada masyarakat tentang kelebihan TVET dan mengwar-warkan mengenai TVET melalui kaunselor dan PIBG kepada masyarakat. Untuk keterangan lanjut boleh hubungi BPLTV di KPM dan boleh juga hubungi PPD dan JPN masing-masing dan di sana ada pegawai-pegawai masing-masing yang boleh membantu semua guru. Pesanan terakhir beliau ialah dalam memperkasakan TVET ini komitmen yang padu di peringkat sekolah amat diharapkan kerana apa yang menjadi fokus KPM adalah kemenjadian pelajar.

Comments

Popular posts from this blog

Ulasan video (Webinar) Pelaksanaan PT3: Ke arah autonomi sekolah? - Oleh Lembaga Peperiksaan