Ulasan video (Webinar) Pelaksanaan PT3: Ke arah autonomi sekolah? - Oleh Lembaga Peperiksaan

            Sesi ini dipengerusikan oleh Puan Aida Mohd Anip, Penolong Pengarah dan Puan Noor Khairunissa Mohd Aris juga Penolong Pengarah. Tetamu yang hadir pada sesi ini ialah Tuan Haji Rohesan Muhamad Ketua Penolong Pengarah Lembaga Peperiksaan. Sesi dimulakan dengan kata-kata aluan dan pendahuluan mengenai PT3 oleh Tuan Rohesan.

            Antara kandungan ucapan pendahuluan beliau ialah sejak 2011, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK). Pada tahun 2012, KPM memperkenalkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Terdapat empat komponen dalam PBS, pertama Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), kedua adalah Pentaksiran Pusat atau lebih dikenali dengan PT3, ketiga adalah Pentaksiran Aktiviti Sukan, Jasmani dan Kokurikulum (PAJSK) dan keempat ialah pentaksiran psikometrik. PT3 pertama dilaksanakan pada tahun 2014 sehinggalah ke saat ini tahun 2019, di mana skop melibatkan Sukatan Pelajaran Tingkatan Satu hingga Tiga. PT3 saat ini adalah tanggungjawab bersama antara sekolah, PPD, JPN dan Lembaga Peperiksaan. PT3 dipanggil sebagai Pentaksiran Pusat kerana instrumennya disediakan oleh Lembaga Peperiksaan manakala urusan pengoperasian, pentadbiran, penskoran dan pelaporan dilaksanakan oleh sekolah.

            Soalan pertama yang diajukan oleh Puan Anis ialah ‘apa yang hendak diautonomikan kepada pihak sekolah?’. PT3 adalah salah satu komponen dalam PBS dan bukanlah peperiksaan pusat. Sejak tahun 2014 sehingga 2019 ia dikenali sebagai pentaksiran pusat di mana soalannya, itemnya dan instrumennya dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan. Guru-guru seluruh Malaysia sudah biasa dengan PT3. Menurut Tuan Rohesan pemerkasaan autonomi sepenuhnya akan kita laksanakan pada tahun 2020. Mulai tahun 2020 ada 18 mata pelajaran yang akan diberikan sepenuhnya kepada sekolah untuk bangunkan instrumennya dan bina soalannya sendiri serta lima subjek lagi masih dipegang oleh Lembaga Peperiksaan iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Al-quran dan subjek melibatkan KBD. Maksud memberikan autonomi adalah memperkasakan kepakaran guru-guru dalam pembinaan instrument mulai tahun 2020. Sebelum membicarakan tentang PT3 secara keseluruhannya, kita perlu faham maksud pentaksiran. Pentaksiran adalah suatu proses untuk mendapatkan maklumat tentang perkembangan dan potensi individu iaitu pelajar-pelajar yang perlu dibuat agar kita boleh membuat penilaian dan tindakan dapat diambil seperti soal jawab, ujian dan dialog yang memperolehi maklumat seperti pelajar tidak dapat menguasai pembelajaran dan tindakan seperti penambahbaikan kaedah PdPC. Guru lebih tahu kelemahan dan kelebihan murid-murid maka guru lebih layak mentaksir murid mereka berbanding Lembaga Peperiksaan. Lembaga Peperiksaan mungkin boleh membuat pentaksiran bertulis tetapi kalua kaedah pentaksiran lain seperti ujian bertutur, berdialog dan kuiz guru lebih layak dan tahu tentang potensi murid-murid. Disebabkan itu, kita memperkasakan PT3 dengan memberikan autonomi kepada guru dan meningkatkan kepakaran guru dalam PT3.

            Seterusnya kita lihat sejarah PBS dan PT3. Kerajaan khususnya KPM telah memperkenalkan SPPK pada tahun 2011 di mana dalam SPPK ini, terdapat dua perkara besar. Pertama ialah PBS dan satu lagi ialah peperiksaan pusat. Dalam PBS ini, ia lebih diperkenalkan dengan empat komponen, PBD, PAJSK, Psikometrik dan Pentaksiran Pusat yang dikenali sebagai PT3. Ia diperkenalkan di sekolah pada tahun 2012. Maka PT3 yang pertama adalah pada tahun 2014 kemudian pada 29 November 2018 format baru telah diperkenalkan untuk pentaksiran tingkatan 3. Surat siaran telah dikeluarkan pada tarikh itu untuk format baru PT3 yang akan digunapakai pada tahun 2019 kemudian untuk tahun 2020 kita laksanakan pemerkasaan PT3 ekoran daripada pengumuman Dato’ KPPM pada 14 Mac yang lalu di mana ini merupakan punca kuasa kepada KPM untuk melaksanakan pemerkasaan dan autonomi kepada sekolah dalam pelaksanaan PT3.

            Berbalik kepada SPPK, PBS mengandungi empat komponen, dua daripadanya adalah akademik, PBD dan pentaksiran pusat. Custodian PBD ialah bahagian pembangunan kurikulum manakala Lembaga Peperiksaan pentaksiran pusat yang merujuk kepada PT3. Seterusnya PAJSK yang bukan akademik custodiannya ialah bahagian sukan dan kesenian dan psikometrik adalah bahagian pengurusan sekolah harian. Ini adalah komponen PBS. Jangan lihat pentaksiran tingkatan 3 itu secara bersendirian. Sekolah yang uruskan dan sekolah yang berhak mentaksir pelajar dalam PBS ini. Satu lagi komponen besar dalam SPPK ialah peperiksaan pusat. Jangan jadikan PT3 untuk membandingkan antara sekolah, PPD dan JPN kerana sekolah itu sendiri dan kita mahu melihat perkembangan pelajar. Dalam peperiksaan pusat kita lebih merujuk kepada nom reference tetapi PT3 dan PBD lebih merujuk kepada standard reference sebab itu dalam kurikulum baru ini KSSM (Kurikulum Standard Sekolah Menengah) digunakan sebagai rujukan bukan dilihat sebagai perbandingan antara pelajar, sekolah dan negeri. Sebab itu, dalam PT3 kita tidak mengeluarkan GPS, Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP). Tidak sesuai jika sekolah mahu terus membandingkan.

            Berikut merupakan instrumen PT3; pertama ialah ujian bertulis yang mana guru-guru sudah sangat biasa. Kedua ialah ujian lisan untuk menguji kemahiran bertutur dan mendengar. Seterusnya ialah ujian tilawah dan hafazan untuk melihat kemahiran pelajar dalam membaca al-quran dengan betul dan kebolehan menghafal. Keempat ialah ujian komunikasi untuk calon berkebolehan khas yang bertutur dengan bahasa isyarat dan terkahir ujian berkomunikasi untuk mengukur kemahiran melihat dan mendengar. Memandangkan bukan semua ujian ini adalah ujian bertulis maka dengan ini guru di sekolah pernah melakukannya dan bukanlah sesuatu yang baru. Kita tahu bahawa guru-guru tertekan dengan pembuatan soalan tetapi guru-guru sudah biasa melakukannya cuma dengan pemerkasaan ini kita memberi latihan dan bimbingan kepada guru bukan sahaja dari Lembaga Peperiksaan tetapi juga dibantu oleh PPD dan JPN supaya instrumen yang dihasilkan itu menepati standard Lembaga Peperiksaan.

            Jika kita lihat dalam pemerkasaan apa yang kita nak ialah kita nak beri autonomi kepada sekolah dalam pentaksiran. Dalam pentaksiran ini, sebelum ini jika peperiksaan pusat, semuanya diuruskan oleh Lembaga Peperiksaan tetapi dalam pemerkasaan PT3 ini, kita memberi kuasa kepada sekolah untuk membina item, memasang item untuk kegunaan calon-calon di sekolah mereka sendiri bukan untuk sekolah lain. Dalam hal ini, PPD dan JPN tidak perlu membuat soalan. Sekolah sendiri yang perlu buat. Maka tiadalah peperiksaan selaras maka sekolah yang bangunkan mengikut keperluan murid sekolah itu sendiri contohnya jika dalam sesuatu daerah itu terdapat pelbagai jenis sekolah seperti Sekolah Agama, Sekolah Harian Biasa dan Sekolah Berasrama Penuh kebolehan calon berbeza. Jika kita hendak bandingkan sekolah-sekolah ini adalah tidak adil maka untuk pemerkasaan PT3 ini kita mahu sekolah itu sendiri bina soalan untuk muridnya. Tiada lagi peperiksaan selaras antara daerah atau negeri. Cukup untuk sekolah masing-masing dan pemerkasaan PT3 ini hanyalah setaraf dengan peperiksaan akhir tahun dan tidak lebih dari itu. Objektifnya ialah merupakan inisiatif KPM untuk meningkatkan kepakaran guru bukan sahaja dalam PdPC tetapi juga dalam membina soalan dalam pentaksiran. Guru lebih dekat dan lebih tahu dengan murid maka sebab itu kita buat pemerkasaan ini. Dato KPPM telah memperkenalkan naratif baru amalan pendidikan di mana penekanannya ialah kita mahu lihat pentaksiran terhadap perkembangan murid-murid itu sendiri berbanding naratif lama yang lebih exam-oriented. PT3 bukanlah persijilan dan hanyalah penilaian bagi menengah rendah sahaja. Dalam akta pendidikan kita, 11 tahun anak kita mesti mendapat pendidikan jika dibandingkan dengan kita dahulu, Sijil Rendah Pelajaran (SRP) di mana jika kita gagal Matematik contohnya maka kita tidak boleh naik ke Tingkatan Empat. Tetapi kini jika pelajar gagal semua subjek PT3, pelajar boleh naik ke Tingkatan Empat kerana PT3 hanyalah penilaian dan bukanlah persijilan. Kita mahu meningkatkan kepakaran guru dalam pentaksiran seiring dengan PdPC kerana pentaksiran tidak boleh dipisahkan dengan PdPC.

            Autonomi di sekolah, daripada 11 perkara ini, ia bukanlah perkara baru, pertama ialah pendaftaran calon di mana memang dilakukan oleh guru. Kedua, Pelantikan Personel Pentaksiran & Pentadbiran juga sudah dibuat oleh guru. Seterusnya, Perancangan Jadual Kerja juga biasa dibuat oleh guru. Keempat, pembinaan item yang juga bukan perkara baru kerana guru pernah membuat item untuk peperiksaan bulanan, pertengahan tahun dan akhir tahun. Seterusnya ialah pemasangan instrumen iaitu kertas soalan yang mengandungi soalan-soalan yang tidak boleh dipisahkan daripada pembinaan item. Keenam iaitu verifikasi instrumen dan panduan penskoran yang juga telah dibuat oleh guru-guru dalam PT3 sejak 2014 sehingga kini. Percetakan juga perkara biasa yang dibuat begitu juga pentadbiran pentaksiran yang telah lama kita buat. Penskoran, moderasi & verifikasi skor, perekodan skor serta pelaporan keputusan yang sememangnya telah dibuat oleh guru-guru. Yang dikira baru hanyalah pembinaan item dan pemasangan instrumen. Guru-guru akan dilatih oleh jurulatih utama di setiap daerah dalam setiap negeri. Negeri-negeri tertentu telah dan akan dilaksanakan latihan untuk pembinaan item dan pemasangan instrumen. Kerja-kerja ini harus kita lakukan pada tahun 2020. Lembaga Peperiksaan akan menyediakan panduan Pembinaan Item dan Panduan Pemasangan Instrumen yang akan diberikan kepada semua guru melalui JPN dan PPD. Perkara ini bukan perkara asing kepada guru-guru. Seterusnya, dalam Pemerkasaan PT3, sekolah, JPN, PPD & Lembaga Peperiksaan bekerjasama dalam memastikan kejayaan pelaksanaan untuk PT3 untuk tahun 2020. Pentaksiran Pusat masih dipegang oleh Lembaga Peperiksaan dan lima mata pelajaran masih dipegang oleh Lembaga Peperiksaan manakala 18 lagi mata pelajaran iaitu pentaksiran sumatif kendalian sekolah. Lembaga Peperiksaan masih memegang lima subjek lagi seperti Bahasa Melayu kerana ada keperluan untuk beberapa perjawatan memerlukan Bahasa Melayu oleh Jabatan Perkhidmatan Awam manakala Bahasa Inggeris kita dapat pengiktirafan dari pihak luar iaitu Cambridge Assessment English (CEFR) manakala subjek berkaitan Al-quran kita dapat kepakaran dari Darul Quran & JAKIM begitu juga mata pelajaran kesenian daripada Kementerian Kesenian & Pelancongan, pensyarah-pensyarah universiti manakala keperluan untuk menyediakan Ujian Mendengar dalam Bahasa Melayu dengan mengambil kira kekurangan kelengkapan di sekolah. Manakala pentaksiran sumatif kendalian sekolah ini sebenarnya menyahut seruan naratif baru amalan pendidikan ini. Kita nak memperkasakan sekolah dengan memberi autonomi kepada sekolah kerana sekolah yang lebih berhak.

Comments

Popular posts from this blog

Ulasan video (Webinar) MEMPERKASAKAN TVET DI SEKOLAH MENENGAH HARIAN